Sunday, December 18, 2016

SANG PEMILIK

Dah lama tak garap, tak lakar cerita sendiri. Cerita kisah perasaan yang kekadang tak terzahir oleh perkataan. Kisah yang adakalanya berlalu di angin lalu, begitu pantas menyeberangi samudra kehidupan.

Kepada Sang Pemilik Nyawa, banyak benar dugaan dan rintangan yang Kau berikan. Ada masa, ada hari, ada ketika, tak terpikul untuk meneruskan. Memandangkan diri banyak benar kekurangan, payah sungguh kaki nak susun perjalanan. Walhal semuanya dah  tertulis sejak azali.

Wahai Sang Pemilik Nyawa, tiupkanlah api keberanian, kesabaran, kekuatan dan ketetapan iman untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan. Jauhkanlah diri ini dari segala anasir bencana mahupun kekalutan.

Semenjak dua menjak kebelakangan ini, sering amat Sang Pencerita menghatar mereka-mereka yang tak pernah diduga untuk hadir dalam cerita hidup ini. Adanya mereka memudahkan urusan, tak kurang juga yang sebaliknya... syukur wahai Sang Pencerita. Ada pun yang Kau hantar itu sedikit sebanyak sebagai ujian, redho dan berterima kasih dengan hikmah disebaliknya.

Wahai Sang Pemilik Nyawa, perjalanan ini mengajar apa itu kesabaran yang memang adakalanya tak terpikul nak bawaknya. Boleh hilang ia untuk seketika dek kerana tak terbawa. Mereka yang Kau datangi, yang Kau hantar untuk didampingi, hanya Engkau Yang Maha Tahu sejauh mana kebolehan untuk hambaMu terus untuk berjalan.

Simpulan demi simpulan yang Kau utuskan untuk umatMu meleraikan. Ada simpulan dengan mudah sekali dapat dirungkai, Alhamdulillah.... Engkau permudahkanNya. Lalu, bagaimana pulak dengan simpulan-simpulan yang rumit dan yang sulit untuk dileraikan. Ada antaranya bercambah menjadi rentetan permasaalahan yang makin merumitkan. Hilang sudah daya dan upaya si penyelesai untuk mencari jalan. Apakah benar ianya ujianMu untuk kami, mereka dan umat-umatMu Wahai Sang Pemilik Hati.

Hubungan demi hubungan, tak terbawa oleh perasaan. Kasih yang Engkau pinjamkan sungguh besar ertinya kepada mereka semua. Tiada neraca yang bisa menimbang berat isi kandungannya. Tiada jarak sempadam yang dapat memisah dan menjarakkan. Sekali ianya tumpah, belum tentu dapat dikutipnya kembali. Kasih yang Kau pinjamkan tak bisa disentuh, tapi boleh dirasai bila mana meresap kesegenap naluri. Hanya Engkau Yang Maha Mengerti Wahai Sang Pemilik Nyawa.

Ajarilah kami,
Tunjukkanlah kami,
Temanilah kami,
Lindungilah kami,
Rinduilah kami,
Sayangilah kami,
Maafkanlah kami,
Ampunilah kami,
Kerana kami dah banyak buat salah,
Kerana kami dah banyak mengabaikan,
Kerana kami dah salah guna kuasa,
Kerana kami tak guna qalamMu sebaiknya
Kerana kami sering menyakiti sesama sendiri
Kerana kami tak hargai anugerah yang diberi
Kerana kami menganiaya amanahMu
Kerana kami pentingkan harta dunia
Kerana kami terlupa semuanya hanya sementara
Kerana kami lupa tak ada antara kami yang sempurna
Kerana kami adalah hamba Mu Yang Maha Esa