Catatan seorang Naib Presiden MAYC Kebangsaan:
Organisasi Belia seperti MAYC banyak melahirkan pemimpin dari yang kecil hingga besar. MAYC badan induk belia yang memayungi ramai belia diakar umbi sejak sebelum merdeka lagi. Banyak kejayaan yang berjaya dirangkul diperingkat bawahan hingga pengiktirafan nasional.
20hb Disember 2014 : Mesyuarat Agung Tahunan Mayc Kebangsaan.
Kenapa saya menawarkan diri bertanding PRESIDEN ?
1. Penyelewengan dalam organisasi: saya menjadi Exco MAYC Kebangsaan semenjak 2004 sehingga kini. Saya melalui transformasi kepimpinan belia lama & belia pasca Akta 668. Saya menyaksikan kemelut dalaman organisasi dan hutang-hutang yang berbayar dan tidak berbayar. Saya pernah juga berpengalaman melihat "kerusi terbang" dalam mesyuarat agong!
Namun, perkara yang berlalu dijadikan sejarah, yang akan datang harus diolah dan ada arah. Semenjak Akta 668 yang memberi kuasa kepada kepimpinan bawah 40 mentadbir, belia diperkasa dengan kuasa dan tenaga belia diterjemah menjadi bentuk yang lebih segar bugar. Hakikatnya, kekurangan iman, pengalaman yang kurang dan kerakusan "ingin cepat kaya" / kelihatan "selesa" telah menjadikan mereka yang menduduki kerusi tertinggi organisasi bertindak membelakangkan barisan Exco MAYC Kebangsaan berbanding beberapa "si kitol" yang ada dalam organisasi.
ASET:
Bangunan MAYC di Sharmelin, Cheras telah dijual ke tangan bukan Melayu (sedangkan status asalnya untuk orang Melayu) dan bangunan Jitra, Kedah telah dijual juga. Segala penjualan ini, dibuat dan dilaksanakan melalui tipu helah, komisyen diagih sesama mereka dan membelakangkan jawatankuasa MAYC Kebangsaan dalam sebarang keputusan. Mereka mungkin fikir, negara ini tiada undang-undang?
CCTV dipasang dalam pejabat MAYC beberapa unit bagi memantau pergerakan staff dan memastikan dokumentasi mereka simpan dan penyelewengan mereka tidak didedahkan. Mesyuarat Exco MAYC Kebangsaan jarang diadakan, tiada pembentangan kewangan, tiada pembentangan anak-anak syarikat.
Jika bukan kerana ada proses demokrasi pemilihan ini, maka selamanya kami dibodohkan, amanah dikhianati dan hak belia menjadi hak pribadi.
Alhamdulillah, saya dibekalkan "bukti" oleh mereka yang sayangkan organisasi dan berjuang bersendiri. Mereka datang dengan harapan agar tindakan untuk mengembali dan mengekalkan aset MAYC diperjuangkan, dengan apa cara dan keadaannya sekali pun.
2. Transformasi kepimpinan belia yang tidak bertransformasi: dahulu organisasi belia diterajui oleh orang-orang hebat dan berusia. Maka, anak muda berharap untuk menjadi pentadbir organisasi belia, mereka diberi peluang oleh Kerajaan BN. YB Dato Seri Azalina Othman Said membentang dan mempertahankan suara anak muda. Mereka diberi kepercayaan, peluang dan ruang dalam segenap sudut.
Dalam pada itu, apabila mereka (kepimpinan baru) telah lebih usia, haruslah tahu dan sedar untuk berundur dan menghidupkan proses transformasi kepada generasi seterusnya. Namun, masih ada segelintir yang "kekal" / "mengekalkan" diri dalam kepimpinan MAYC Negeri walaupun dah melebihi paras usia belia. Usia 45? 44? 43? 42?...
Kepimpinan MAYC sedia ada menutup sebelah mata tentang perkara ini agar dapat diteruskan "kroni" kekal kuasa. Menikus tanpa bahasa.
3. Pengalaman & Perjuangan : dalam Majlis Perundingan Belia Negara baru lalu telah dibentangkan draf Dasar Belia Negara yang akan dipinda, perubahan yang utama adalah tafsiran usia belia dari usia 15-40 tahun kepada 15-30 tahun. Persiapan melengkapkan generasi muda untuk memegang tampuk kepimpinan belia harus dimula dan digerakkan.
Seawal usia 13tahun saya telah terlibat dalam organisasi belia hingga kini. Sejak dahulu, saya terlatih dalam kursus-kursus kepimpinan JBS, melaksanakan program-program dan lain-lain lagi. Sejak tidak mengenal orang, hingga kenal ramai orang, sejak tidak tahu bercakap hingga banyak cakap, sejak tidak tahu berorganisasi hingga tahu apa itu "manipulasi".
Saya banyak belajar semasa kepimpinan MAYC diterajui oleh YBhg Tan Sri Syed Hamid Albar. Saya bermula diperingkat kebangsaan dengan jawatan Exco, diberi peluang menjadi Penolong Setiausaha Agong, Setiausaha Agong (Penaja) ketika YB Datuk Suraya Yaacob menjadi Presiden Penaja, hingga kini Naib Presiden. Saya membaca perjuangan MENJARO - Mental , Jasad dan Rohani semasa kepimpinan YBhg Tan Sri Sanusi Junid. Saya kagum akan penulisannya dan kebijaksanaannya menjadikan setiap kali ucapan dasarnya sentiasa dinanti-nanti.
Segala proses ini mematangkan diri dan alhamdulillah, perjuangan yang tidak seberapa ini diiktiraf dan saya pernah dianugerahkan dengan Anugerah Perdana Belia Negara Kategori Wanita 2012 pada hari lahir saya yang ke 33 tahun pada ketika itu.
Organisasi MAYC ini harus terus berjaya dan segala perit jerih kepimpinan terdahulu dikekal, maju dan bukan diselewengkan. Belia perlu dilatih perkara yang betul, bukan sepi dan tidak berdaya menentang "si kitol". Belia perlu berilmu dan banyak ilmu supaya kita semua akan terus maju.
AKHIR:
Saya telah memperoleh 2 pencalonan berbanding calon lain yang mendapat 1 pencalonan. Kedua-dua pencalonan saya itu dibatalkan oleh "5" orang JK Pemilihan yang diberi kuasa lebih tinggi dari jemaah barisan Exco MAYC Kebangsaan dan penterjemahaan perlembagaan mengikut acuan mereka. Siapakah mereka? Kemudian kita bincangkan.
Saya akan hadir ke mesyuarat agung tahunan MAYC Kebangsaan 2014.
Saya telah mengambil tindakan sewajarnya. Saya percaya, kebenaran pasti mengatasi kebatilan.
Saya akan terus berjuang kerana
jawatan itu bukan destinasi...
Salam Perjuangan dari saya,
Haryaty Hamdzah.
Naib Presiden MAYC Kebangsaan.
18 November 2014.
*** Jumpa nanti di MAT MAYC Kebangsaan!
Kepala Batas, Pulau Pinang. :-)
