"Maslan 3.85 Extended Version" melampau dan keterlaluan.
Aplikasi yang boleh dimuat turun oleh orang ramai melalui telefon pintar dengan meletakkan nama ayah kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia "Maslan 3.85 Extended Version " serta wajah kartun YB Datuk Ahmad Maslan dalam aplikasi tersebut merupakan suatu tindakan biadab dan keterlaluan. Pergerakan Puteri UMNO melihat perkara ini jika tidak dibendung ia dikhuatiri akan berterusan dan menjadi fenomena baru untuk mengaibkan pemimpin-pemimpin negara.
Tindakan sebegini tidak sewajarnya berlaku tambahan pula ia mengaitkan orang yang telah meninggal dunia dan tiada kaitan dengan politik semasa. Ketidakpuasan hati mana-mana pihak seharusnya dinyatakan dengan cara yang lebih baik kerana pihak kerajaan Barisan Nasional yang sememangnya sentiasa terbuka untuk ditegur dan menerima pandangan serta cadangan orang ramai. Dalam negara Malaysia yang majmuk sebegini, sikap hormat menghormati sesama kaum, agama dan budaya harus lebih diutamakan bagi mengelakkan ketegangan dimasa hadapan.
Aplikasi seperti ini atau mana-mana aplikasi yang bersifat memperlekehkan pemimpin harus dicegah dengan kadar segera. Saya menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat pencipta aplikasi ini dan mengambil tindakan sewajarnya yang termaktub di dalam akta sedia ada.
Perbuatan ini harus segera dihentikan sebelum lebih banyak pemimpin negara menjadi paparan utama aplikasi permainan seumpama ini. Bayangkan apa pula akan terjadi sekiranya pemimpin pihak berkenaan dijadikan paparan utama sebuah permainan di telefon pintar sekali gus menjadi bahan jenaka oleh rakyat.
Peranan YB Datuk Ahmad Maslan di dalam memberi penjelasan mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat adalah satu peranan besar. Pelbagai maklumat yang diberi Datuk Ahmad Maslan mengenai isu berkenaan harus dilihat dari aspek positif dan bukan dilencongkan dengan menghina pemimpin berkenaan melalui aplikasi permainan yang tidak berfaedah.
Pihak berkenaan juga seolah ketandusan idea dengan serangan sebegini tanpa jawapan atau fakta untuk menafikan hujah Datuk Ahmad Maslan yang didakwa mereka tidak benar.
Saya menggesa rakyat negara ini terutamanya orang muda untuk turut sama menyelar tindakan ini selain tidak memuat turun aplikasi yang hanya menyebabkan nilai-nilai murni seorang individu terhakis.
Haryaty Hamdzah
Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO
14 Mei 2015
Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO
14 Mei 2015
